Thursday, September 01, 2005

Membina kecergasan Minda anak

Air mata ibu mana yang tidak tertitis melihat anaknya mendapat kejayaan
cemerlang? Hati ayah mana yang tidak bangga menyaksikan anaknya ditabalkan
sebagai pelajar pintar? Dan siapakah yang tidak bersyukur mendapat anugerah
dari Allah sebagai seorang yang cerdas dan tajam akal fikirannya.Bagaimana
untuk menjana pemikiran anak agar lebih berkembang, mantap dan matang?
Tentunya, setiap ibu bapa mempunyai ramuan dan petuanya yang tersendiri
untuk berusaha ke arah itu. Walau bagaimana pun, cara yang dilakukan
mestilah bersesuaian dan berkadaran dengan kemampuan diri kita.



Semoga dengan tip dan panduan berikut akan menjadi pedoman bagi diri kita
sebagai ibu bapa yang sememangnya mahukan anak-anak yang bijak dan cerdas
mindanya:

1. Pemakanan

Sebagai ibu bapa, kita semestinya begitu prihatin dengan setiap suap makanan
yang dinikmati oleh anak kita. Memberi makanan yang berzat dan seimbang
adalah penting untuk menjamin tumbesaran anak. Tahukah bahawa perkembangan
mental dan fizikal anak juga berkait rapat dengan jenis pemakanan yang
diambil?Untuk membina kecerdasan mental anak, seseorang ibu perlu mengambil
langkah awal yaitu semenjak dalam kandungan lagi. Seseorang itu mestilah
mengambil makanan berbentuk protein, karbohidrat, vitamin dan kalsium yang
mencukupi. Ini akan menjamin bayi yang dilahirkan berkeadaan baik dan
sihat.Bagi kanak-kanak pula, digalakkan diberi bahan bantuan untuk kesihatan
anak. Contohnya pil vitamin, kismis dan buah badam. Menurut pakar kesihatan,
makanan begini penting untuk meningkatkan lagi tahap kesihatan dan
kecerdasan mental anak.

2. Adakan Aktiviti Rekreasi

Menganjurkan aktiviti rekreasi dan senaman adalah baik untuk meningkatkan
lagi ketajaman fikiran anak-anak. Aktiviti kembara dan perkelahan misalnya,
secara tidak langsung akan membentuk fikiran kreatif dan tahan tekanan dalam
diri anak. Mereka dapat mempelajari cara menyelesaikan masalah dengan
menggunakan idea yang bernas dan kreatif. Di samping dapat menenangkan hati
dan membantu menghilangkan tekanan.

3. Layani Percakapan

Kebiasaannya, anak-anak kecil minatnya lebih cenderung untuk bertanya itu
ini dan berceloteh panjang. Sebagai seorang ibu, layanilah dengan sabar
setiap apa yang ditanya dan diperkatakan oleh anak-anak. Semoga ianya dapat
memupuk minat mereka terhadap apa yang mereka lihat, dengan menceritakan
kepada mereka kejadian alam, keajaiban cakerawala dan keindahan ciptaan
Tuhan.Pastikan setiap jawapan kita hendaklah berbentuk positif agar sifat
ingin tahu terus subur di hati mereka. Mereka akan lebih bersungguh-sungguh
untuk mencari sesuatu yang ingin mereka ketahui dan menjadikan mereka lebih
`sensitif’ dengan perkembangan ilmu.



4. Melatih Berfikir Secara Rasional

Dengan pemikiran yang rasional, diri kita akan lebih terpandu ke arah
kebaikan. Sehubungan dengan itu, kita perlulah melatih anak sejak kecil agar
dapat berfikir secara rasional dan kreatif. Terdapat banyak cara untuk kita
memupuk daya pemikiran anak agar rasional dalam bertindak. Cara yang terbaik
ialah dengan melatih mereka membuat keputusan sekiranya menghadapi masalah.
Bimbinglah mereka cara yang terbaik dalam menyelesaikan masalah.Melatih anak
berfikir secara rasional dan positif, akan menjadikannya orang yang suka
berfikir sebelum bertindak. Mereka juga akan lebih berhati-hati dalam
menimbang baik buruknya sesuatu perkara. Justeru, fikiran mereka lebih
pantas berhujah dengan bernas dalam mengutarakan pendapat.

5. Latih Berdikari

Melatih anak berdikari akan mematangkan mereka dalam bertindak dan juga
berfikiran lebih kreatif. Ini kerana, anak yang sudah dibiasakan dengan
hidup berdikari lebih cekap menyelesaikan sebarang masalah hidup dengan
lebih baik.Anak-anak juga perlulah digalakkan agar sentiasa meringankan
tugas
kita. Selain daripada membiasakan mereka mengurus diri, mereka juga perlulah
dilatih untuk hidup sederhana.Apabila sudah terbiasa berdikari, fikiran
mereka akan mudah menilai keadaan sesuatu perkara. Mereka akan menjadi
perancang masa depan yang bijak dan tidak akan khuatir dengan sebarang
mehnah yang menggugat.

6. Sediakan Bahan Bacaan Dan Permainan

Minda anak-anak juga boleh dikembangkan dengan menggunakan bantuan beberapa
jenis material seperti bahan bacaan dan permainan. Bagaimanapun, bahan
bacaan yang dipilih mestilah bersesuaian dengan peringkat umur dan
kematangan mereka.Bahan bacaan tidak semestinya berbentuk proses pembacaan
sahaja. Ia juga boleh berbentuk praktikal seperti aktiviti mengira,
mengolah, mewarna dan sebagainya. Pastikan juga bahan bacaan tersebut bukan
sekadar buku cerita, malah berkisarkan pengetahuan sains,matematik, geografi
ataupun sejarah. Bahan bacaan seperti ini bukan hanya dapat mengembangkan
minda anak-anak, tetapi juga mendidik anak-anak cintakan ilmu.Anak-anak juga
boleh dihiburkan dengan permainan-permainan yang bermanfaat, yang
menyeronokkan tetapi pada masa yang sama boleh mengembangkan daya pemikiran.
Antaranya, seperti catur, kuiz mengeja, kuiz matematik dan sebagainya.

7. Melazimkan Hafalan Ayat Al-Quran

Sejarah telah membuktikan bahawa ulama dan cendikiawan dahulu, mempunyai
daya ingatan yang cukup hebat. Mereka bukan sahaja mampu menguasai ilmu
sains dan matematik, tetapi juga mendalami ilmu Islam seperti fekah dan
tauhid. Lebih mengagumkan lagi, mereka mampu menghafal al-Quran semenjak
kecil. mempunyai kekuatan daya ingatan yang tersendiri. Sekiranya ia dipupuk
dengan menghafal sesuatu yang bermanfaat, ia akan memantapkan lagi kekuatan
yang ada. Lebih-lebih lagi kalau yang dihafal itu ialah ayat-ayat
al-Quran.Bukankah Allah menjanjikan ketenangan hati, lapang jiwa dan
ketajaman akal bagi orang yang cinta akan al-Quran? Adalah wajar kita
mendorong anak-anak agar menghafal atau melazimkan mereka membaca al-Quran.
Pada peringkat kanak-kanak, jiwa, hati dan fikiran mereka bersih. Lantaran
itu mereka lebih mudah menghafal. Jangan persiakan zaman kanak-kanak, semoga
minda anak kita lebih bersih daripada sebarang anasir `kotor’ yang boleh
menggelapkan hati.

8. Berdoa Kepada Allah

Adalah baik sekiranya kita sering meluahkan kata-kata yang baik seperti
memuji anak-anak, semoga ia turut menjadi doa buat mereka. Ia juga akan
dapat membangkitkan lagi semangat anak untuk terus membaiki diri.Berdoalah
setiap kali selepas solat, agar kita dikurniakan anak yang pintar dan semoga
kebijaksanaan itu dapat menambah kebahagiaan keluarga kita. Alangkah baik
jika kita dapat mendirikan solat hajat untuk anak-anak kita yang bakal
menduduki ujian atau peperiksaan. Merayulah kepada Allah agar anak kita
diberi kemudahan untuk menerima ilmu dan berjaya meraih cita-cita dalam
hidupnya. Kecerdikan dan kepintaran anak itu adalah anugerah Allah, maka
kepada-Nyalah kita merayu dan berusaha agar anak kita turut sama menikmati
anugerah itu dengan cara yang paling baik.Semoga dengan kebijaksanaan kita,
akan mendekatkan diri kita kepada Allah dan dapat mengekalkan kemesraan
sesama keluarga.

No comments: